Jawabanmu

2014-02-18T00:28:40+07:00
SEBUAH KISAH KEROPOK UNTUK MASA DEPAN
[Tribute untuk amarkun yang sudah tidak lagi berblog.]Saleh menaip sesuatu di telefonnya. ‘Tak pergi’, dan dia menghantar mesej tersebut. Kemudian dia menggenggam erat telefonnya. Tiba-tiba telefonnya bergetar, menandakan ada mesej baru diterima. Dia membacanya, ‘Kenapa? Semua yang lain hadir ke kenduri ini nanti’. Segera dia membalas, ‘Ada kerja yang perlu dibereskan’.Dia memasukkan telefon ke dalam poket. Saleh berbisik, “Tuhan, tabahkan hatiku.” Kepalanya dijelepekkan ke atas meja.Seorang lelaki datang menghampirinya, menepuk meja. Saleh tersenyum memandangnya, seperti selalu-selalu dia senyum memandang sesiapapun. Lelaki itu berkata, “Makan, Leh. Kedai simpang. Ramai-ramai.”Lembut Saleh menolak, “Tak apa, kau pergilah. Kirim salam kepada yang lain.” Setelah berbasa-basi, lelaki itu beredar. Saleh menekur wajah. Ada mutiara halus di tubir mata. Dia bermonolog sendiri, “Bukan aku tak mahu, Zim. Aku segan asyik minta dibelanja. Aku risau, nanti aku dibangkitkan kembali dengan ada tanda-tanda orang yang meminta-minta di wajahku.”Saleh bingkas lambat-lambat. Perutnya bagai menjerit-jerit minta diisi, walau sekeping roti. Dia senyum sahaja. Pesannya kepada diri, “Sabarlah jiwa. Tuhan sentiasa bersama dengan orang yang sabar.”Saleh berjalan melepasi gerai-gerai menjual makanan. Bauan yang menggiurkan iman menusuk-nusuk hidungnya. Dia menyeluk poket. Ada sekeping duit kertas biru renyuk untuk tambangnya nanti, dan dua keping syiling dua puluh sen. Jadi, dia cuma ada empat puluh sen untuk belanja.Saleh berhenti di hadapan gerai goreng pisang dan keropok. Dia memberi salam. Penjual itu menjawab salamnya sambil tersenyum. Tanya Saleh kepada penjual, “Tuan, keropok ini berapa harganya?”Penjual itu menjawab, “Lima seringgit, nak. Mahu berapa? Seringgit? Dua ringgit?” Dia membuka plastik dan memegang sepit.Saleh tunduk memandang bumi. Tidak sanggup memandang penjual. Perlahan, dia berkata, “Berikan saya keropok, emm, empat puluh sen,” sambil menghulur dua keping logam di tangannya.Penjual memandang Saleh, lama. Seolah-olah membaca apa ada di jiwanya. Dia memasukkan keropok ke dalam plastik.Saleh mengira di dalam hati, “Satu, dua. Eh, tiga, empat, lima, enam, tujuh… Aduh, apakah tadi suaraku perlahan tidak didengarinya? Adakah nilai minimum membeli di sini adalah seringgit?” Saleh mendongak ke langit untuk mengelak airmatanya luruh ke tanah.Penjual menghulurkan beg plastik yang separuh penuh dengan keropok, dan berkata, “Nah, nak. Ambillah. Tidak perlu bayar. Hadiah dari pakcik. Tidak baik menolak hadiah”Saleh hilang kata-kata. Dia mengambil beg plastik dari tangan penjual, mengucapkan terima kasih tertunduk-tunduk dan beredar cepat-cepat. Kepalanya mendongak ke langit lagi, namun tidak mampu lagi untuk menahan cecair hangat mengalir dari tubir mata.Dia mengesat air mata dan air hidung dengan lengan baju. Dia berbisik sendiri, berdoa, “Hei Tuhanku, berkatilah dia. Segala puji bagimu, Tuhanku, mengenyangkanku dengan rahmatmu. Sungguh, engkaulah yang maha mendengar isi hati.”“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Dia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (al Fathir:38)